Alhamdulillah,,setelah kira2 3 tahun lebih tinggal di Jordan nih,pada hari Selasa yang lalu(bersamaan 25 Januari 2011),Allah telah makbulkan hasrat saya berkunjung ke PETRA.. =)
bukan apa,rasa macam nak pergi,,tapi,tak dela sampai terasa 'kempunan'.=)
Tapi,hasrat terbesar yang nak ke Makkah,tak tercapai-capai lagi(T_T).."Mungkinkah diri ini belum layak jadi tetamumu Ya Allah??T_T,"seringku bermonolog..
hmm.
Jadi,seperti yang orang kata,kalau nak ke sesuatu tempat,especially tempat-tempat bersejarah,amatlah baik kalau kita study dulu kisah2 dan latar belakang tempat tersebut..
(p/s:font sedikit berbeza,sebab saya tulis di Microsoft word sebelum meng-kopi-pasta di blog ni..harap tak kesah..PEACE =)
Ada apa dengan PETRA??
Nama ‘Petra’ merupakan satu perkataan Greek ”πέτρα” yang bermaksud batu dan dalam Bahasa Arab pula,Petra dipanggil sebagai البتراء, Al-Batrāʾ .Ia adalah sebuah kota bersejarah dan arkaeologi yang terletak dalam kawasan pemerintahan Jordan di Ma'an. Petra merupakan satu hasil senibina pemotongan batu dan sistem pembuluh air. Ia telah dibina kira-kira pada kurun ke-6 sebagai ibu kota bagi Nabatea dan merupakan satu simbol bagi Jordan,selain menjadi tarikan pelancong yang paling banyak dilawati.
Petra terletak di cerun Gunung Hor dalam lembangan antara pergunungan yang mana membentuk sisi timur Arabah (Wadi Araba), lembah besar yang merentang dari Laut Mati ke Teluk Aqaba.
Bersempena tanggal 7/7/2007 lalu, Petra telah diumumkan sebagai salah satu daripada Tujuh Keajaiban Baru Dunia setelah terpilih bertanding bersama 20 lokasi lain yang dianggap ajaib dari seluruh dunia. Malah,Petra juga telah dipilih sebagai Tapak Warisan Dunia sejak tahun 1985 dan turut dipilih oleh BBC sebagai satu daripada "40 tempat yang anda mesti lihat sebelum mati".
Sebenarnya,lokasi ini tidak diketahui oleh Dunia Barat sehingga tahun 1812, apabila ia diperkenalkan oleh seorang penjelajah Switzerland,yang bernama Johann Ludwig Burckhardt. Kerana batu-batuannya yang tampak kemerah-merahan apabila disinari sang mentari,ia digambarkan sebagai "a rose-red city half as old as time" oleh seorang pemenang soneta Hadiah Newdigate iaitu John William Burgon. Manakala,UNESCO pula telah menggambarkannya sebagai "satu harta budaya paling berharga dari warisan kebudayaan manusia." (one of the most precious cultural properties of man's cultural heritage).
Kisah di sebalik PETRA ?
Sebagaimana yang telah dinyatakan,tempat ini telah dijumpai dan dikenali oleh dunia barat sejak tahun 1812.Pernahkah para pembaca terfikir apakah kisah di sebalik PETRA yang tersergam indah dan dianggap menakjubkan itu?
Setiap sesuatu monumen atau bangunan,pastilah tidak sedikit kisah dan sejarah berkaitan yang ditinggalkan.Ahli sejarah,yang rata-rata dikuasai orang Dunia Barat,menyatakan bahawa kota ini dibina oleh kerajaan Anbad(Bahasa Arab) atau Nabatean.Jika di cari di mana-mana laman berkaitan PETRA di laman web,pastilah kisah kerajaan Nabatean ini yang akan diceritakan.
Walaubagaimanapun,ada pula pendapat ahli agama yang menganggap bahawa kebarangkalian Petra adalah kawasan tinggalan Kaum Thamud,iaitu kaum Nabi Saleh A.S.Di dalam al-Quran,tidaklah disebut dengan jelas di manakah penempatan kaum Thamud,tetapi ciri-ciri yang di gambarkan ada persamaan dengan Petra.
Dan (terhadap) kaum Thamud yang memahat batu-batu besar di lembah? (al-Fajr :9)
Cuba para pembaca fikirkan,apakah hikmahnya tempat seperti PETRA ditemukan?Adakah sekadar untuk menjadi tempat perlancongan?Ya!Tidak dinafikan Petra merupakan antara tarikan terbesar pelancong ke Jordan kerana keunikannya yang tidak terdapat di mana-mana tempat sekalipun.Malah,dikatakan,tidak sempurna lawatan seseorang ke Jordan tanpa singgah melawat Petra.Tapi,apakah hanya sekadar itu?
(hebat anugerah yang Allah S.W.T berikan kepada mereka-mampu memahat bukit untuk dijadikan penempatan..subhanallah)
Sebagai manusia yang beriman,perlulah ada perbezaan cara pemikiran berbanding mereka yang tidak beriman.Berkunjung ke tempat seperti Petra seharusnya mampu memberi pengajaran tersendiri buat kita. Antara hikmah Petra diketemukan dan ‘diperlihatkan’ kepada dunia adalah supaya kita semakin percaya dan tambah mengimani isi al-Quran berikutan kisah-kisah kaum manusia terdahulu .
Kaum Thamud telah digambarkan di dalam al-Quran sebagai kaum yang telah diberi kemahiran oleh Allah S.W.T mengukir gunung untuk dijadikan rumah mereka.Sungguh hebat gambaran tersebut,bukan?Sehebat manapun kerajaan Rom membina binaan,mereka tidak mampu mengukir gunung,tetapi hanya mampu membongkahkan batu-batuan dan membina kota mereka.Ramai manusia pada masa kini lebih percaya kepada apa yang dilihat.Maka,lihatlah sendiri kehebatan pembinaan dan arkaelogi Petra!Tanpa melihat sendiri ‘bukti’,ramai manusia memiliki perasaan ragu-ragu dan menidakkan,”apakah mungkin manusia pada zaman dahulu yang tidak berbekalkan teknologi mampu mengukir dan memahat gunung untuk di jadikan rumah?”. Bagi kita yang sudah beriman dengan al-Quran serta segala isinya,(inshaallah),pastilah akan bertambah rasa keimanan dan perkara ini boleh menjadi ‘bahan cerita’ untuk kawan-kawan yang masih ‘sangsi’.
Kisah Nabi Soleh a.s dan Kaum Thamud
Al-A’raf (ayat 74)
74-"Dan kenanglah ketika Allah menjadikan kamu khalifah-khalifah sesudah kaum 'Aad, dan ditempatkan kamu di bumi, (dengan diberikan kemudahan) untuk kamu mendirikan istana-istana di tanahnya yang rata, dan kamu memahat gunung-ganang untuk dijadikan rumah. Maka kenangkanlah nikmat-nikmat Allah itu dan janganlah kamu bermaharajalela melakukan kerosakan di muka bumi ini".
Daripada ayat tersebut,dapat difahami bahawa Kaum Thamud telah dipilih oleh Allah sebagai kaum ‘pengganti’ kepada kaum Ad, yang sebelumnya telah dimusnahkan kerana kesombongan mereka dari beriman kepada Allah S.W.T dan kelalaian mereka tatkala ‘tugas’ khalifah ditaklifkan.
Apakah itu khalifah?Dan apa pula tugasnya?Khalifah bermaksud pentadbir dan menjadi salah satu daripada dua tujuan utama manusia diciptakan,selain sebagai hamba untuk mengabdikan diri kepada Allah S.W.T.Khalifah bertanggungjawab untuk mentadbir di muka bumi dan mengurus kehidupan masyarakat. Kedua-dua elemen ini jelas dalam kewujudan hukum fardu ain dan fardu kifayah.Sebagai khalifah,seseorang manusia wajib melihat muka bumi (global) sebagai satu dunia yang perlu ditadbir dan masyarakat di seluruh muka bumi (manusia keseluruhannya) sebagai satu komuniti yang perlu diuruskan.
Namun,ternyata,kaum Thamud juga seolah-olah ‘menjejak’ tindakan kaum Ad yang sombong dengan menidakkan seruan tauhid,malah,sangat keji merancang pembunuhan utusan Allah sendiri.Mereka takbur dan leka dengan segala nikmat duniawi yang dipinjamkan,apatah untuk menjalankan tugas sebagai khalifah,sesuatu yang amat berbeza dengan sifat mereka.
Jika diteliti dari kisah Kaum Thamud,ternyata terdapat beberapa persamaan antara kita (skop besar : sebagai manusia dunia)(skop kecil : masyarakat Malaysia)dengan mereka.Antaranya ialah :
i.menerima seruan tauhid supaya beriman kepada Allah S.W.T yang Maha Esa.
ii. diutuskan rasul sebagai penunjuk jalan
iii.ditaklifkan tugas sebagai khalifah
iv.dikurniakan nikmat berlimpah ruah,bumi yang subur
v. kemahiran tersendiri (kita 'mahir' bina menara tinggi2 :P)
vi.dan lain2
Jadi,seandainya kita menuruti jejak kaum Thamud ataupun mana-mana kaumterdahulu,yang telah dimusnahkan kerana mengabaikan dua tujuan utama hidup,iaitu sebagai hamba dan khalifah,adalah tidak mustahil jika kita pula mendapat nasib yang sama,iaitu ‘diganti’ dengan kaum lain dalam memikul tugas-tugas ini.Nauzubillah.
“Dan sesungguhnya Kami telah membinasakan umat-umat yang terdahulu daripada kamu semasa mereka berlaku zalim padahal telah datang kepada mereka Rasul-rasul mereka membawa keterangan-keterangan dan mereka masih juga tidak beriman. Demikianlah Kami membalas kaum yang melakukan kesalahan. Kemudian Kami jadikan kamu (wahai umat Muhammad) khalifah-khalifah di bumi menggantikan mereka yang telah dibinasakan itu, supaya Kami melihat apa pula corak dan bentuk kelakuan yang kamu akan lakukan.” (Yunus : 13-14)
Pengajaran dari kisah kaum Thamud
Justeru itu, umat Islam sebagai manusia pilihan harus kembali memainkan peranan dan melaksanakan tanggungjawab sebagai khalifah. Umat Islam tidak sepatutnya hanya memikirkan masalah setempat. Umat Islam tidak seharusnya hanya berasa bertanggungjawab ke atas pencapaian mereka sebagai individu atau kelompok yang lebih kecil. Umat Islam tidak seharusnya hanya memfokus kepada penyelesaian masalah dan pembinaan masyarakat suku bangsanya.
Sudah tiba masanya umat Islam harus berfikiran sejagat berminda khalifah. Sudah tiba masanya umat Islam harus melihat dunia global (muka bumi) sebagai jajahan atau daerah yang perlu ditabdir dan masyarakatnya (manusia) diuruskan mengikut prinsip-prinsip yang diterangkan dalam al-Quran, al-Hadis dan Sunnnah Rasulullah s.a.w. Sudah tiba masanya untuk mengkaji semula kaedah atau pendekatan pengurusan dalam Islam. Sudah tiba masanya untuk mendahulukan fardu kifayah berbanding fardu ain sebagaimana yang ditekankan selama ini; atau sekurang-kurangnya kedua-dua fardu kifayah dan fardu ain ditegaskan sama pentingnya. Sudah tiba masanya individu dan umat Islam bukan sekadar 'menghitung' apa yang telah dimilikinya tetapi 'memperkirakan' apa yang telah dia dan mereka sumbangkan dalam pembinaan tamadun manusia di muka bumi dan sebesar mana sumbangan itu jika ada.
Justeru itu, individu dan umat Islam tidak seharusnya mengharapkan 'balasan' langsung terhadap setiap buah fikiran, sumbangan, pengorbanan dan pekerjaan yang mereka lahirkan, berikan atau lakukan, daripada pihak yang menggunakan buah fikir mereka itu, atau pihak yang menerima faedah dan manfaat daripada sumbangan atau pekerjaan mereka itu. Hal ini kerana Islam telah menjelaskan bahawa Allah akan mencukupkan rezeki sesiapa yang dikehendaki-Nya dan Allah telah berjanji akan menolong sesiapa yang menolong-Nya dalam menegakkan kebenaran al-Quran dan syiar Islam di muka bumi. Bahkan Allah telah menganugerahkan akal dan fikiran kepada seluruh manusia supaya dengan akal dan fikiran tersebut mereka dapat melakukan tugas dan melaksanakan tanggungjawab sebagai khalifah.
WALLAHU A'LAM.
Rujukan
1. Al-Quran
No comments:
Post a Comment